ISI kotak yang meruntun hati Susan kerana ia berisi wang kertas RM1 berjumlah RM43 yang dikumpulkan tiga anaknya Susan selama tiga minggu untuk membeli hadiah Krismas buatnya. FOTO Ihsan Susan Aloysius
ISI kotak yang meruntun hati Susan kerana ia berisi wang kertas RM1 berjumlah RM43 yang dikumpulkan tiga anaknya Susan selama tiga minggu untuk membeli hadiah Krismas buatnya. FOTO Ihsan Susan Aloysius
Noor Hidayah Tanzizi

Kudat: "Kotak yang di meja itu untuk mama (ibu), apa yang (ada) di dalam itu kotak buka dulu," itu nota tulisan tangan anak Susan Aloysius yang diletakkan pada kotak 'misteri' yang dihadiahkan oleh tiga daripada lima anaknya.

Isi kotak berkenaan meruntun hati Susan, 31, kerana ia berisi wang kertas RM1 berjumlah RM43 yang dikumpulkan anaknya, Erick Rechel Jasrin, 12; Williya Melly, 10, dan Christiella Eve, 9, selama tiga minggu untuk membeli hadiah Krismas buatnya.

Tiga anak Susan mengambil keputusan menyerahkan wang itu selepas mengetahui wanita berkenaan kesempitan wang ketika seorang anaknya minta dibelikan barang keperluan.

Susan berkongsi kisah itu di Facebook dan ia mendapat perhatian netizen yang turut terharu dengan ketulusan hati anak suri rumah berkenaan biarpun usia mereka masih kecil.

Berkongsi kisahnya, Susan berkata, wang simpanan itu adalah hasil daripada wang saku untuk belanja sekolah tiga anaknya dan lebih mengharukan apabila wang itu disimpan untuk membeli hadiah sempena sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.

Menurutnya, kisah itu bermula apabila seorang anaknya minta dibeli keperluan perkhemahan, namun dia meminta diberikan masa kerana dia dan suami, Jasrin Magau, 41, yang bekerja sebagai penoreh getah masih belum mempunyai cukup wang.

"Anak menerima penjelasan saya dengan baik. Tidak lama selepas itu saya masuk ke bilik saya sebelum melihat ada kotak di atas meja dan membaca nota diletakkan bersama kotak itu.

"Selepas itu saya membuka kotak dan terus menangis melihat helaian wang kertas RM1 di dalamnya.

"Saya pergi jumpa anak dan memeluk mereka sambil cakap terima kasih kerana mereka beri wang itu selepas tahu saya tiada wang.

"Saya bagi semula wang itu kepada anak dan cakap saya tidak perlukannya namun mereka menolaknya, malah cakap wang itu memang disimpan untuk hadiah saya. Tetapi mereka hanya meminta kotak saja dikembalikan," katanya ketika dihubungi.

SUSAN bersama suami dan lima anaknya. FOTO Ihsan Susan Aloysius
SUSAN bersama suami dan lima anaknya. FOTO Ihsan Susan Aloysius

Menurutnya yang menetap di Pitas di sini, dia terkejut dan terharu apabila anak menyerahkan wang itu kepadanya kerana di usia kecil mereka sudah memahami untuk membantunya.

"Setiap hari saya akan memberi RM2 kepada anak dan mereka akan menyimpan separuh daripada wang itu. Saya memang tak sangka mereka sanggup simpan wang saku demi hadiah saya.

"Anak sulung memang ada tanya sebelum ini bila kami akan sambut perayaan Krismas dan saya tanya kenapa dia tanya sebelum dijawabnya mahu kumpul duit untuk hadiah Krismas. Saya juga tak sangka mereka betul-betul simpan duit itu.

Menurutnya, kehidupan mereka tidak mewah tetapi anak sangat memahami terutama apabila kemahuan mereka masih belum dapat dipenuhi dengan sepenuhnya, malah anak juga akan meminta izin untuk meminta sesuatu.

"Kami sudah mula membuat persiapan Krismas dan seperti biasa perayaan disambut sederhana saja, malah kadang-kadang ada hadiah untuk anak, kadang-kadang tiada tetapi anak tidak kisah kerana mereka memahami keadaan keluarga kami.

"Anak sudah gembira kalau bawa mereka berjalan di bandar atau makan-makan. Saya bersyukur Tuhan hadirkan anak yang memahami, tidak banyak kerenah dan mereka adalah harta tak ternilai buat kami," katanya mendidik anak dengan mengajar mereka sentiasa cakap maaf, tolong dan terima kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:00 PM