Jamal Al-Sharif yang juga bapa wartawan, Anas Al-Sharif syahid selepas terbunuh dalam serangan udara tentera Israel, semalam. FOTO instagram Anas Al-Sharif
Jamal Al-Sharif yang juga bapa wartawan, Anas Al-Sharif syahid selepas terbunuh dalam serangan udara tentera Israel, semalam. FOTO instagram Anas Al-Sharif
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Lebih 60 hari tidak bertemu, wartawan Al Jazeera Anas Al-Sharif yang sebelum ini mendapat ugutan dan menjadi sasaran tentera Israel menerima khabar duka apabila bapanya terbunuh dalam serangan udara di utara Gaza, semalam.

Bapanya Jamal Al-Sharif, 65, terbunuh selepas rumah keluarganya di Kem Jabalia dibom ketika menunaikan solat.

Sebelum ini, Anas seperti beberapa pengamal media lain turut menerima ugutan daripada rejim zionis yang menyasarkan mereka secara langsung kerana giat menyebarkan berita mengenai keadaan Gaza termasuk di media sosial.

Anas berkata, walaupun tidak bertemu ibu bapanya dalam tempoh lama, tetapi tiada sekalipun dia tidak merindui insan tersayang itu, malah mengakui semakin merindui mereka.

"Saya tidak dapat bertemu dengan mereka kecuali dalam pandangan perpisahan ayah tercinta.

"Saya melihat ayah sebagai syahid dan memeluk ibu, menghiburkannya (menenangkan) dan saya sendiri," tulisnya dalam hantaran di aplikasi X.

Katanya, dia sebelum ini menerima ugutan daripada tentera Israel yang menyasarkannya, namun tetap berada di lapangan bagi menyampaikan maklumat kepada dunia mengenai keadaan di Gaza ketika ini.

"Saya tetap berada di lapangan antara keluarga dan rakyat menghantar audio dan video untuk memastikan liputan berterusan.

"Musuh membalas dendam dengan menyasarkan rumah keluarga saya yang menjadikan ayah tercinta syahid," tulisnya.

Menurut Anas, dia reda dengan pemergian bapanya kerana setiap bernyawa adalah milik Allah SWT dan akan kembali kepada-Nya serta turut menyatakan tekadnya untuk terus kekal meneruskan tugasnya sebagai wartawan.

"Kami berada di sini untuk kekal dan liputan akan diteruskan dari tengah-tengah kem Jabalia bersama anda," katanya.

Dalam akaun Instagramnya, Anas menulis bapanya sudah tiada, namun 'keharumannya' tidak pernah 'pergi'.

"Ya Allah, saya sangat merinduinya. Saya melihatnya dengan pandangan perpisahan," katanya.

Sementara itu, portal berita Al Jazeera melaporkan Anas Al-Sharif adalah wartawan media itu yang keempat kehilangan ahli keluarga sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 6:10 PM