IBU kanak-kanak Palestin, Shadi Abdel Aal meratapi kematiannya yang ditembak tentera Israel, kelmarin. - AFP
IBU kanak-kanak Palestin, Shadi Abdel Aal meratapi kematiannya yang ditembak tentera Israel, kelmarin. - AFP
Agensi

Gaza: Tentera Israel menembak mati seorang budak berusia 11 tahun dan dua lelaki berusia 21 tahun ketika penduduk Palestin meneruskan tunjuk perasaan di sempadan Gaza-Israel.

Budak berkenaan dikenali sebagai Shadi Abdel Aal, ditembak mati di Jabalia, utara Gaza, menjadikannya mangsa termuda dibunuh tentera rejim Zionis.

Reuters melaporkan, menurut kenyataan tentera Israel, tembakan dilepaskan apabila penunjuk perasaan melempar batu dan bom api ke arah anggota keselamatan, selain sembilan penduduk Palestin menyeberang sempadan.

“Dia sering ke lokasi tunjuk perasaan setiap Jumaat untuk menyertai ribuan lagi dalam perhimpunan ‘perarakan pulang’. Jumaat kali ini dia mati syahid,” kata bapanya Abdel-Aziz Abdel-Al.

Menurut seorang peserta perhimpunan itu, Hashem Hassan, 28, dia nampak Shadi berada 70 meter dari pagar sempadan apabila terkena tembakan.

“Dia melempar beberapa batu yang pergi hanya sejauh beberapa meter. Dia bukan ancaman,” katanya,

AFP melaporkan, dua lagi penduduk Palestin, Hani Afana dan Mohammed Shaqqura, kedua-duanya berusia 21 tahun mati ditembak dalam kejadian berasingan dekat Khan Yunis di selatan Gaza dan Al-Bureij.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, sekurang-kurangnya 50 lagi cedera terkena tembakan tentera Israel.

Bedilan kereta kebal Israel juga mengenai satu pos pemerhati Hamas di timur Gaza.

Penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan setiap Jumaat sejak 30 Mac lalu, dan Jumaat lalu, mereka mengadakan tunjuk perasaan itu di beberapa lokasi sepanjang sempadan yang dianggar membabitkan lebih 10,000 orang.

Sejak Mac lalu, sekurang-kurangnya 179 penduduk Palestin maut ditembak tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 5:31 AM