KEADAAN kereta dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan. FOTO Juwan Riduan
KEADAAN kereta dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua beranak antara tiga yang maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda berhampiran Jejambat Bukit Padang, Jalan Lintas, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal kenderaan serta memandu secara berbahaya sebelum merempuh Proton Iswara dinaiki mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 33 tahun bergerak dari arah Penampang ke Kolombong.

Katanya, Proton Iswara yang dinaiki sembilan individu termasuk dua bayi kembar dan tiga kanak-kanak bergerak dari arah bertentangan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mangsa wanita yang dikenali sebagai Asmidah Junaidi meninggalkan dunia di lokasi kejadian manakala anaknya dan anak saudara lelaki berusia lima bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Mohd Zaidi berkata, mangsa lain yang turut parah dihantar ke HQEI dan HQEII untuk rawatan lanjut.

"Pemandu pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di muka dan tangan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis juga sudah mengambil spesimen darah daripada pemandu Toyota Hilux untuk dianalisa kandungan alkohol oleh Jabatan Kimia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:54 PM