KERETA Perodua Myvi dipandu Muhammad Rejab remuk teruk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain. FOTO Ihsan Pembaca
KERETA Perodua Myvi dipandu Muhammad Rejab remuk teruk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran simpang Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kemalangan 3.40 petang itu, mangsa, Muhammad Rejab Lokman Hakim, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Dua lagi mangsa, masing-masing wanita berusia 21 tahun serta lelaki berusia 54 tahun dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Myvi, kereta Proton Persona, pacuan empat roda Toyota Hilux dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu Muhammad Rejab yang menghala ke Puncak Alam memasuki laluan bertentangan dan merempuh belakang kereta Proton Persona.

“Selepas pertembungan itu, kenderaan terbabit merempuh pula pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Toyota Hilux itu pula merempuh MPV Perodua Alza. Kejadian itu menyebabkan Muhammad Rejab tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa'aton berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 10:12 PM