GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kes demam denggi di Terengganu menunjukkan trend peningkatan apabila sebanyak 264 kes direkodkan dalam tempoh bermula 1 Januari hingga 2 Disember lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 17.3 peratus berbanding 225 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak dua kematian dilaporkan dalam tempoh berkenaan berbanding satu kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daerah ini merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 141 kes diikuti Marang (35 kes), Kemaman (27 kes), Kuala Nerus (22 kes) dan Hulu Terengganu (17 kes).

"Di Dungun, sebanyak sembilan kes direkodkan, Setiu (tujuh kes) dan Besut (enam kes).

"Secara keseluruhan, semua daerah menunjukkan peningkatan kes kecuali daerah Dungun dan Besut yang menunjukkan penurunan.

"Di Dungun, kes denggi menurun kepada sembilan kes berbanding 14 kes, manakala di Besut, sebanyak enam kes dilaporkan berbanding 14 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Dr Kasemani berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan kawalan dan pencegahan merangkumi pemeriksaan premis dan penguatkuasaan bagi memastikan kes denggi di Terengganu terkawal.

Menurutnya, pihaknya meminta kerjasama masyarakat untuk menjalankan aktiviti cari dan memusnahkan aedes bagi menghapuskan pembiakan dan mengelakkan jangkitan demam denggi.

"Langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan dalam dan luar rumah selain menghapuskan tempat pembiakan aedes dengan mengelak ruang atau bekas ditakungi air perlu dilakukan.

"Bagi sesiapa yang mempunyai tanda atau gejala demam denggi, segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 1:18 PM