Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Tindakan bersepadu membanteras denggi sepanjang tahun lalu menunjukkan hasil positif apabila kes denggi diturunkan sebanyak 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tahun lalu, 4.21 juta premis di seluruh negara diperiksa dan didapati 84.7 peratus pembiakan nyamuk ditemui di luar rumah berbanding 15.3 peratus di dalam rumah.

Beliau berkata, menerusi aktiviti penguatkuasaan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, sebanyak 16,601 kompaun sudah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM8.2 juta.

“Sebanyak 1,721 tindakan mahkamah dikenakan dengan denda RM1.2 juta. Tindakan tegas terhadap pemaju tapak binaan turut dijalankan dengan 2,305 tapak bina diberi notis penutupan bagi tujuan kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan analisis, kira-kira 56 peratus daripada 101,357 kes denggi yang dilaporkan tahun lalu terdiri daripada pesakit lelaki manakala, 44 peratus adalah perempuan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 99 peratus kes di diagnosis sebagai demam denggi manakala, satu peratus adalah denggi berdarah atau sindrom kejutan denggi.

Menurutnya, pihaknya mendapati bekas plastik adalah punca pembiakan nyamuk dengan 18.3 peratus, tong (11.5 peratus), tayar (8.5 peratus) dan baldi (6.9 peratus).

“Negeri yang menunjukkan indeks pembiakan tertinggi ialah Selangor (3.56 peratus), Pulau Pinang (3.36 peratus), Melaka (3.15 peratus), Johor (2.36 peratus), Sarawak (2.35 peratus), Kelantan (2.13 peratus), Perlis (2.07 peratus), Kuala Lumpur (1.22 peratus), Terengganu (1.12 peratus) dan Negeri Sembilan (1.06 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi minggu pertama tahun 2017 iaitu bagi tempoh dari 1 hingga 7 Januari lalu, sebanyak 1,663 kes demam denggi dilaporkan berbanding 1,329 kes pada minggu sebelumnya, iaitu berlaku peningkatan 334 kes (25 peratus) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Terdapat sepuluh negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang (42 kes), Melaka (42 kes); Kedah (11 kes), Kuala Lumpur dan Putrajaya 83 kes, Johor (84 kes), Perak (53 kes), Sabah (24 kes), Kelantan (24 kes), Selangor (268 kes) dan Pulau Pinang (enam kes).

“Jumlah kes yang dilaporkan pada minggu pertama 2017 menurun sebanyak 50 peratus (1,674 kes) berbanding 3,337 kes pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Katanya, dua kes kematian dilaporkan dalam tempoh itu berbanding empat kematian bagi tempoh sama tahun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:21 AM