S Singgara menunjukkan dua Anugerah Asia yang dimenangi di Trichy, India iaitu Asia Outstanding Barber Award dan Asia Most Sustainable Salon Award pada 3 Disember lepas. FOTO BERNAMA
S Singgara menunjukkan dua Anugerah Asia yang dimenangi di Trichy, India iaitu Asia Outstanding Barber Award dan Asia Most Sustainable Salon Award pada 3 Disember lepas. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Georgetown: Seorang tukang gunting membuktikan usaha tidak pernah mengkhianati hasil apabila keringatnya selama 20 tahun dalam bidang itu mendapat pengiktirafan, dinobatkan "Asia Outstanding Barber Award" dalam majlis yang berlangsung di Trichy Tamil Nadu, India, awal bulan ini.

Bukan itu saja, pada majlis sama S Singgara Vello, 50, yang mengusahakan Verlarz Classic Barber di Lebuh Ah Quee, di sini berbangga apabila turut diiktiraf oleh Asia Award, "Asia Most Sustainable Saloon" atas usaha dan sumbangannya dalam bidang itu terutama kepada golongan kurang bernasib baik.

Pengiktirafan itu adalah yang kedua baginya, selepas kali pertama dianugerahkan "Asia's Outstanding Saloon Award 2020/2021" oleh badan sama, dua tahun lepas.

Menyoroti kisah hidupnya, bapa kepada seorang anak itu berkata apa yang dikecapinya hari ini adalah hasil usaha tanpa putus asa selepas melalui pelbagai kepayahan dalam hidup apatah lagi hanya bersekolah setakat darjah lima.

Vello berkata sejak kecil lagi beliau sudah belajar berdikari kerana tinggal bersama bapa saudara selepas kematian bapa dan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan ketika itu membuatkan dia tidak mampu meneruskan pelajaran.

Disebabkan kekangan itu, beliau terpaksa keluar bekerja seawal usia 15 tahun bagi mencari duit poket malah memberitahu pernah menjadi pemandu lori sebelum memutuskan untuk menjadi tukang gunting pada 2003.

"Mendiang bapa mentua, M Nadeson merupakan tukang gunting sambilan dan dari situ saya mula minat untuk menceburi bidang sama dan belajar cara gunting rambut daripadanya tetapi, dia (bapa mentua) suruh saya ambil kursus kemahiran jika mahu serius dalam kerjaya itu.

"Saya kemudian menghadiri beberapa kursus kemahiran bagi membolehkan saya mendalami ilmu dalam bidang tersebut kerana saya sedar saya tidak pandai dalam pelajaran jadi, untuk maju selain daripada usaha perlu juga ada ilmu dan kemahiran.

"Selepas menamatkan kursus saya berjaya membuka sebuah kedai gunting rambut pertama yang diberi nama Mas Mithra Hair Studio pada Mac 2003 dan pada 2015, saya buka sebuah lagi kedai Verlarz Classic Barber di sini (Lebuh Ah Quee)," katanya kepada Bernama.

Bertitik tolak dari situ, anak jati Bukit Mertajam itu enggan lagi menoleh ke belakang sebaliknya, memasang impian untuk berkongsi rezeki bersama golongan kurang bernasib baik khususnya anak muda yang keciciran kerana mahu mereka juga berjaya seterusnya mengubah kehidupan masing-masing.

Vello berkata sejak 2017 beliau telah melatih sekurang-kurangnya 25 remaja dalam bidang berkenaan dan ada di antara mereka kini yang bekerja di kedai gunting miliknya.

Impian dan matlamatnya adalah untuk membuka sebuah akademi bagi membolehkan lebih ramai anak muda dilatih seterusnya membuka peluang kerjaya dalam bidang tersebut dengan memfokuskan individu keciciran dalam pelajaran, bermasalah atau daripada keluarga kurang mampu.

"Semua latihan diberikan secara percuma. Saya sasar untuk membuka (akademi) tahun depan dan kini sedang dalam proses mencari dana bagi membiayai akademi itu selain lokasi yang bersesuaian," katanya.

Di samping kerjaya sebagai tukang gunting sepenuh masa, Vello turut aktif melakukan kebajikan melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya selain pernah bergiat dalam sukan bina badan dan pernah dinobatkan sebagai Mr Penang pada 2014.

"Saya berharap kisah hidup saya dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada anak muda di luar sana. Gagal sekali bukan bermakna kita gagal selamanya, ada minat carilah ilmu kerana ilmu itu penting selain usaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:18 PM