Rosman Shamsudin


KREATIVITI menjadikan sebuah bas yang hampir lupus sebagai tempat perkhidmatan gunting rambut yang dilakukan Fakulti Teknikal dan Vokasional ( FTV) ,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak bukan sahaja unik malah jarang ditemui di negara ini.

Bas jenis Scania yang dikenali sebagai 'The Barber Bus' ( TBB) yang diubah suai itu terletak berhampiran Kompleks Bitara Siswa di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Dekan FTV, Dr Mohd Azlan Mohammed Hussin berkata, idea untuk menjadikan bas yang hampir lupus itu timbul berdasarkan pengalaman beliau ketika berada di Amerika Syarikat.

"Di negara berkenaan mereka menggunakan truck yang sudah diubah suai reka bentuk dalamannya dengan menawarkan perkhidmatan gunting rambut yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

"Apabila pulang ke negara ini, timbul idea untuk menggunakan bas yang hampir lupus dengan menawarkan perkhidmatan yang sama,

"Ia adalah Program Barber Bus Inkubator (BBI) selain inisiatif khas FTV iaitu sebahagian dari program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Prenuer yang memfokuskan pembangunan aktiviti TVET dalam kalangan pelajar UPSI dan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Program BBI dijalankan dengan kerjasama pihak industri yang akan menyokong pembangunan kemahiran pelajar sekali gus melahirkan usahawan TVET negara.

Oleh itu, FTV bekerjasama dengan Gong Studio Holding Sdn Bhd sebagai rakan strategik untuk melatih pelajar dalam kursus profesional penggunting dan penggaya rambut selain menyediakan perkhidmatan terbabit di dalam kawasan kampus berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Keluarga dan Sains Konsumer FTV, Dr Zahidah Ab Latif berkata, program BBI memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan amali dan praktikal bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang berkenaan.

"Di dalam Kursus Ekonomi Rumahtangga terdapat subjek terapi estetik iaitu gaya dandanan rambut dan dengan adanya TBB secara tidak langsung dapat membantu melahirkan penggunting dan penggaya rambut yang mahir.

"Saya yakin program BBI juga mampu melahirkan penggunting dan penggaya rambut profesional mengikut pembelajaran yang disediakan bermula dari servis gunting rambut hingga ke bahagian pengurusan serta bagaimana untuk menguruskan kedai sendiri," katanya.

TUJUH pelajar lelaki dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk seorang juruwang perempuan bangga dapat menguruskan ' The Barber Bus ' yang menyediakan perkhidmatan gunting rambut di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
TUJUH pelajar lelaki dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk seorang juruwang perempuan bangga dapat menguruskan ' The Barber Bus ' yang menyediakan perkhidmatan gunting rambut di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

TBB yang mula beroperasi pada awal bulan ini dan diuruskan tujuh pelajar secara bergilir-gilir setiap hari.

Sementara Pengurus Operasi TBB dari pelajar semester empat Fakulti Sains Sukan, Mohd Azim Fahmi Mohd Azam, 22, berkata , setiap hari dia bertanggungjawab menyediakan jadual pekerja yang terdiri dalam kalangan pelajar bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan boleh datang terus atau membuat tempahan awal," katanya.

Menariknya, TBB walaupun hampir lupus namun kreativiti pihak FTV mengubahsuai dan menata hias ruang dalaman dengan kelengkapan peralatan perkhidmatan berkenaan nyata ia kelihatan luar biasa selain mempunyai pendingin hawa.

Tukang gunting, pelajar semester dua, Muhammad Haikal Asyraf Mustafa, 21, dari Fakulti Sains Sukan berkata, dia menyertai Program BBI bagi mendapatkan lebih pengalaman dan ilmu dalam bidang berkenaan.

TERDAPAT kaunter juruwang di dalam 'The Barber Bus '.
TERDAPAT kaunter juruwang di dalam 'The Barber Bus '.

"Apabila FTV memperkenalkan TBB, saya mengambil peluang untuk menjadi salah seorang tukang gunting di samping sebagai tenaga pelatih dalam program berkenaan.

Seorang lagi tukang gunting rambut, pelajar semester empat, Ahmad Safwan Ali, 22, yang berasal dari Dungun, Terengganu berkata, pembukaan TBB bukan sahaja dia dapat mempraktikkan kemahiran berkenaan malah juga dapat memperolehi pendapatan sampingan.

"Pendapatan dari pekerjaan sampingan ini sudah tentu dapat membantu saya menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:00 AM