GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, diberitahu, tiada bukti dikemukakan di mahkamah yang menunjukkan penganggur, S Nimalan yang didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, menyebabkan si mati mengalami lemas udara.

Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Nimalan selaku perayu keempat, berhujah bahawa perbuatan yang didakwa dilakukan oleh anak guamnya itu tidak pernah dikenal pasti secara positif dan tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Menurut peguam itu, malah berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-11, iaitu Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, tiada tanda jerutan di leher si mati atau penyempitan trakea, atau tiroid yang boleh disimpulkan bahawa si mati dicekik.

"Jika tiada sebarang perbuatan yang boleh dikenal pasti, apatah lagi apa-apa bukti perbuatan yang dilakukan oleh perayu, bagaimana boleh dikatakan bahawa lemas udara yang dialami si mati adalah disengajakan atau tidak disengajakan?

"Perlu diambil maklum bahawa saksi pendakwaan ke-11 juga tidak pernah menolak kecederaan dan lemas yang dialami oleh si mati adalah tidak disengajakan.

"Selanjutnya, tiada sebarang bukti lain (contohnya perbualan, objek yang digunakan, pelan yang diatur sebelumnya) untuk menunjukkan bahawa perayu berniat untuk melemaskan atau menyebabkan sesak nafas kepada si mati," katanya.

Amer Hamzah berkata, kecederaan luaran si mati juga hanya boleh menunjukkan beliau diserang diserang tetapi pastinya tidak menunjukkan niat di perayu untuk menyebabkan si mati lemas.

Jelasnya lagi, ketika pemeriksaan ke atas saksi itu, pendakwaan meramalkan kemungkinan senario iaitu beg plastik digunakan untuk menutup muka si mati ketika tidak sedarkan diri, bagaimanapun, tiada bukti sama sekali untuk menyokong kerana tiada penemuan sebarang beg plastik, rakaman, atau keterangan lisan saksi.

Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakili seorang lagi perayu, S Ravi Chandaran, berkata, tiada bukti yang menyokong bahawa anak guamnya terbabit membunuh si mati, sebaliknya jika ada pun hanya elemen penculikan.

Kedua-dua peguam itu berhujah dalam rayuan anak guam mereka yang didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020, kerana membunuh Kevin yang mayatnya ditemukan disimen dalam tong dram, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 60, selaku tertuduh pertama; pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 52, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 31, AK Thinesh Kumar, 30, M Vishwanath, 33, dan S Nimalan, 30.

Mendiang Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015 selepas keluar dari kediamannya di Menara Duta untuk ke tempat kerja di Putrajaya dengan menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Kereta itu ditemukan terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak pada keesokan harinya. Mayat mendiang ditemukan dalam keadaan terikat dengan guni dan disimen di dalam tong dram.

Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin bersambung 14 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 3:11 PM