ENAM lelaki termasuk lima beradik dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan amang seksual serta merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah unur berusia 11 tahun, awal bulan lalu.FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ENAM lelaki termasuk lima beradik dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan amang seksual serta merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah unur berusia 11 tahun, awal bulan lalu.FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Lima beradik antara enam lelaki yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan amang seksual dan merogol kanak-kanak perempuan 11 tahun, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, tiga beradik yang berusia 14, 17, dan 23 tahun serta seorang rakan mereka yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan merogol dibacakan di hadapan Hakim Hakim Rohaida Ishak.

Manakala dua lagi tertuduh iaitu dua abang kepada tiga beradik berkenaan yang masing-masing berusia 25 dan 31 tahun mengaku bersalah bagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.

Berdasarkan kertas pertuduhan, empat tertuduh didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa berumur 11 tahun dua bulan di sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik pada November lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Bagi pertuduhan amang seksual pula, dua beradik terbabit dituduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sama di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM 4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati atau mengganggu mangsa selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes, laporan pakar psikiatri mangsa, lantikan peguam, selain keputusan kes bagi dua tertuduh yang mengaku bersalah bagi kesalahan amang seksual berkenaan.

Pada 22 November lalu, akhbar ini melaporkan enam beradik adalah antara tujuh lelaki yang ditahan polis kerana disyaki merogol budak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir dalam kejadian Kampung Pahat Luar di Gerik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 12:14 PM