Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak, pada Oktober dan November lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Hasrul Hassan, 24, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Dalam Huma, Batu 23 Labok, dekat Machang, jam 4 pagi, pada 17 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal di lokasi yang sama jam 2 pagi, pada 19 November lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 3 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 2:03 PM