MURAD membersihkan kediamannya yang dinaiki air sehingga lebih satu Meter akibat banjir di Kampung Paya Kenangan hari ini. FOTO Bernama
MURAD membersihkan kediamannya yang dinaiki air sehingga lebih satu Meter akibat banjir di Kampung Paya Kenangan hari ini. FOTO Bernama
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Banjir di Johor pulih apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini sejak semalam ditutup sepenuhnya, tengah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 565 mangsa daripada 150 keluarga yang terjejas sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dua PPS di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Tiram dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, Puteri Wangsa itu ditutup mulai jam 12 tengah hari ini.

"PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Tiram yang dibuka sejak 8 pagi semalam menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Darat.

"Manakala, PPS SK Bukit Mutiara, Puteri Wangsa yang mula dibuka jam 10 pagi semalam menempatkan mangsa yang juga penduduk Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau.

"Kini, kedua-dua PPS itu sudah ditutup," katanya.

Sementara itu, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia tiada amaran ribut petir di mana-mana kawasan termasuk negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pula melaporkan keadaan cuaca setakat tengah hari ini cerah di semua daerah di Johor kecuali Kluang yang mengalami hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:37 PM