ABDUL Latiff Wan Jaffar menjawab soalan pada Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pempengaruh dan Media di Hotel Zenith Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
ABDUL Latiff Wan Jaffar menjawab soalan pada Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pempengaruh dan Media di Hotel Zenith Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Putrajaya: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang meneliti keperluan menambah jumlah penguat kuasa berdasarkan keadaan pencemaran di seluruh negara.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya membuat permohonan menambah kakitangan bagi menjalankan aktiviti pemantauan alam sekitar.

"JAS membuat pengiraan berdasarkan beban atau bilangan punca pencemaran di seluruh negara termasuk udara, air dan pembuangan sisa toksik yang berbahaya.

"Pengawasan perlu dilakukan seperti memeriksa kualiti air sungai, air tanah, air marin dan banyak lagi yang mana kita rasakan perlu penambahan bilangan kakitangan JAS.

"Pihak JAS sudah mengemukakan permohonan hampir 3,000 orang untuk memastikan kami boleh menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan," katanya pada Program Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Pempengaruh dan Pengamal Media di sini, hari ini.

Turut Hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Dr Norhazni Mat Sari dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAS, Mashitah Darus.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata, pemantauan secara menyeluruh akan terus dilaksanakan dalam mengawal pencemaran air sungai di seluruh negara.

"Pemantauan air sungai dilakukan sepanjang tahun dan kita melihat kualiti serta punca pencemaran berdasarkan bacaan parameter.

"Program penguatkuasaan terhadap punca atau aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran juga dilakukan tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS mempunyai rangkaian stesen pengawasan manual yang mengambil sampel enam kali setahun untuk menganalisis dan menentukan status kualiti air sungai manakala 30 stesen automatik yang dipasang di hulu takat pengambilan air.

"Perbincangan untuk menambah stesen automatik sedang dijalankan bersama kerajaan negeri dan operator loji rawatan air.

"Hal ini sebagai persediaan menghadapi pencemaran air di hulu takat pengambilan air supaya air yang kotor tidak disedut masuk yang akan menyebabkan gangguan loji rawatan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 5:16 PM