RANGKA dan motosikal yang dirampas polis daripada lelaki yang disyaki mencuri motosikal di pusat komersial di daerah Nilai. FOTO Ihsan PDRM
RANGKA dan motosikal yang dirampas polis daripada lelaki yang disyaki mencuri motosikal di pusat komersial di daerah Nilai. FOTO Ihsan PDRM
Ahmad Hasbi

Nilai: Curi motosikal di sini, sebelum dilarikan sejauh lebih 70 kilometer ke Pulau Carey, Selangor.

Itu kegiatan dilakukan dua remaja berusia 17 dan 18 tahun yang dikesan aktif melakukan kes curi motosikal di daerah ini dan Selangor.

Terbaru suspek dikatakan mencuri motosikal milik seorang lelaki di sebuah pusat komersil di sini, kira-kira jam 10 pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malok Hasim berkata, mangsa membuat aduan berhubung kehilangan kenderaannya di kaunter aduan Balai Polis Nilai.

"Pengadu memaklumkan, dia menyedari motosikalnya tiada di lokasi ditinggalkan dan disyaki dicuri. Kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan di Pulau Carey, Selangor kerana disyaki terbabit dalam kes pada hari sama," katanya,

Beliau berkata, turut dirampas tiga motosikal dan tiga rangka motosikal pelbagai model dipercayai dicuri.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:48 PM