Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Menggunakan alat ganti curi untuk membaiki kenderaan di bengkel. Itu aktiviti seorang lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Changkat Keruing, Ayer Tawar, di sini.

Mekanik berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 9 malam, 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemeriksaan menemui empat motosikal dan dua lori disyaki kenderaan curi di premis berkenaan.

"Nombor casis kenderaan juga diganggu usik dan semakan mendapati tiga motosikal itu dilaporkan hilang di Pantai Remis, Sitiawan dan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Suspek mendakwa kenderaan itu dihantar oleh seorang lelaki dan dia tidak mengetahui ia adalah kenderaan curi. Kita percaya bahagian kenderaan itu dileraikan untuk mendapatkan alat ganti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

NOR Omar (dua kanan) melihat motosikal dan kabel elektrik yang dirampas dalam serbuan di Changkat Keruing, Ayer Tawar di Manjung yang dipercayai dicuri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOR Omar (dua kanan) melihat motosikal dan kabel elektrik yang dirampas dalam serbuan di Changkat Keruing, Ayer Tawar di Manjung yang dipercayai dicuri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai melakukan kegiatan itu sejak lebih setahun dan membuka bengkel bersebelahan dengan rumahnya.

"Pembabitan individu dalam kegiatan ini juga dipercayai lebih daripada seorang di mana individu yang mencuri serta membawa kenderaan itu adalah orang berbeza, namun siasatan lanjut masih dilakukan," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan turut menemui 106 kabel elektrik dipercayai dicuri dalam dan luar daerah ini.

"Kita akan membuat pengesahan kabel itu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Menurutnya, suspek kini disambung reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod lampau dan saringan ujian air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 2:31 PM