GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan akan ada beberapa Ahli Parlimen daripada gabungan itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak ada Ahli Parlimen PN akan menyokong kepimpinan Anwar seperti didakwa Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

"Beliau (Syed Abu Hussin) membuat dakwaan seperti ini untuk menarik perhatian. Saya rasa beliau sudah hilang kredibiliti," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mendakwa kira-kira tujuh atau lapan Ahli Parlimen PN daripada beberapa negeri akan menyokong Anwar.

Syed Abu Hussin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti Ahli Parlimen terbabit dan sama ada mereka daripada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menafikan dakwaan berkenaan.

"Itu angan-angan mat jenin seorang Ahli Parlimen yang telah mengkhianati pengundinya. Beliau sangat tertekan kerana pengundi di Bukit Gantang telah memprotes ke atasnya," katanya.

Katanya, tindakan Syed Abu Hussin yang mengumumkan sokongannya kepada Anwar telah dimaklumkan kepada Lembaga Disiplin parti.

"Lembaga disiplin akan teliti dan putuskan (tindakan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:08 PM