Penyanyi, Siti Nordiana ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Penyanyi, Siti Nordiana ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa siaran langsung (Live) di Instagram dibuat lima sekawan pada Julai 2021 menyebabkan ada artis yang menjauhkan diri daripadanya.

Dalam prosiding hari ini, Siti Nordiana, 39, atau lebih dikenali Nana ketika pemeriksaan balas peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili tiga defendan bagaimanapun tidak mendedahkan nama artis berkenaan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Terus Mencintai itu masih memberi keterangan dan menjawab soalan secara bertaip disebabkan masih berdepan masalah hilang suara.

Azlan: Semalam kamu ada bercakap mengenai reputasi yang dah (sudah) rosak, kamu menyatakan pergi Live Show (persembahan secara langsung) dikecam oleh peminat dan ada artis jauhkan diri, siapa artis jauhkan diri?

Nana: Saya tidak boleh dedahkan nama.

Azlan: Altleast (sekurang-kurangnya) namakan tiga artis yang menjauhkan diri itu.

Nana: Saya tidak ingat.

Azlan: Even (walaupun) tiga pun tidak boleh namakan?

Nana: Saksi mengangguk (Ya).

Azlan: Jadi sebenarnya saya cadangkan tiada artis pun jauhkan diri dari kamu

Nana:Tidak setuju.

Azlan: Live Show apa kamu pergi?

Nana: All Together Now

Azlan: Tahun bila bulan berapa?

Nana: Tahun lalu, bulan tak ingat

Nana menjawab pemeriksaan balas itu dalam perbicaraan kes samannya terhadap lima defendan atas dakwaan memfitnah.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semalam Siti Nordiana memberitahu mahkamah, beliau dipandang hina masyarakat yang percaya fitnah selain dikecam peminat kecam dan rakan-rakan artis termasuk menjauh diri darinya.

Siti Nordiana juga memberitahu disebabkan Live Instagram itu memberi kesan terhadap reputasi dan kerjayanya.

Menerusi jawapannya kepada soalan Azlan, Siti Nordiana menegaskan Live Instagram oleh lima sekawan itu ditujukan kepadanya walaupun namanya tidak disebut sebagai individu dimaksudkan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Prosiding di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan itu bersambung pada Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 4:58 PM