SITI Nordiana.
SITI Nordiana.

Kuala Lumpur: "Saya anggap ini ujian besar daripada Allah, itu saja. Selebihnya untuk ulas lanjut, saya tidak boleh kerana masih dalam perbicaraan di mahkamah,"

Demikian kata penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, berhubung perbicaraan kes saman terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya di Instagram.

Menurut juara Gegar Vaganza 2 (GV2) dan pelakon drama Dia Semanis Honey ini, apa yang diharapkannya adalah segala urusan membabitkan kes itu berjalan lancar hingga selesai.

Mengikut laporan media, Nana ketika proses perbicaraan baru-baru ini mendakwa reputasinya terjejas akibat kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan lima individu terbabit juga rakan industrinya.

Penyanyi lagu Angkara itu berkata, pendapatannya juga terjejas selepas kehilangan tawaran dalam kerja seni serta pengikut di Instagram berkurang akibat fitnah berkenaan.

"Selain buat review (ulasan) berbayar, saya juga ada kerja menyanyi dan berlakon. Saya tak nafikan ada tawaran yang dibatal berpunca daripada kes ini. Begitu juga, penurunan jumlah pengikut di media sosial," katanya

Terdahulu, Nana bersama pengurusnya, Anas hadir pada prosiding yang diadakan di hadapan hakim Zulqarnain Hassan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Oktober lalu.

Tiada kata sepakat dicapai di antara pihaknya dengan semua defendan ketika proses mediasi untuk penyelesaian isu terbabit.

Konflik antara Nana dan lima defendan semakin hangat apabila dia memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas dakwaan fitnah penyanyi, Lan Solo dan isteri, Nur Sheila Hassim, penyanyi Syura Badron, jurusolek Aida G serta pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin.

Difahamkan dakwaan fitnah terhadap Nana itu dibuat 'lima sekawan' berkenaan secara langsung di Instagram pada Julai lalu.

Nana selaku plaintif memfailkan saman menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu dengan menamakan lima pihak terbabit sebagai defendan.

Dalam saman itu, Nana juga menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live' serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Prosiding perbicaraan seterusnya akan berlangsung pada 19 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 2:03 PM