KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Pos Hendrop menyebabkan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di empat Kampung terkandas. FOTO ihsan Penduduk
KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Pos Hendrop menyebabkan penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di empat Kampung terkandas. FOTO ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kira-kira 500 penduduk Orang Asli di beberapa perkampungan di Pos Hendrop, di sini, terkandas apabila jalan utama mengalami tanah runtuh.

Antara kampung yang terbabit adalah Kampung Hanir, Kampung Gere, Kampung Perlug dan Kampung Tuel.

Penghulu Kampung Hanir Razak Rongging, 41, berkata penduduk menyedari kejadian berlaku ketika ingin menghantar anak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop, hari ini.

Katanya, dia percaya kejadian belaku kerana hujan lebat yang berterusan sejak seminggu lalu.

"Kejadian tanah runtuh ini menjejaskan aktiviti kira-kira 500 penduduk di sekitar Pos Hendrop terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Sewaktu musim hujan, penjaja tidak masuk ke tempat kami, jadi kami yang akan keluar membeli barangan keperluan harian. Tetapi bila sudah berlaku tanah runtuh, kami tidak dapat ke mana-mana.

"Kita harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan membaik pulih dengan segera kerosakan kerana risau jalan masih tidak dapat dilalui sekiranya berlaku kecemasan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Penduduk Yusof Angah, 42, berkata kejadian disedarinya ketika keluar untuk menghantar dua anaknya ke sekolah kira-kira 6.45 pagi tadi

Katanya, kejadian terbabit menyebabkan lebih 20 keluarga di beberapa kampung tidak dapat keluar untuk menghantar anak ke sekolah.

"Kejadian ini mengejutkan sehingga menyebabkan kami terkandas. Apabila menyedari kejadian, saya terpaksa berpatah-balik ke rumah kerana jalan tidak dapat dilalui termasuk menggunakan motosikal.

"Saya turut memaklumkan kejadian kepada penduduk lain sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kejadian yang berlaku di Pos Hendrop terbabit.

"Saya harap penduduk di kawasan terbabit lebih berhati-hati terutama pada musim hujan kerana kejadian tanah runtuh kerap berlaku di kawasan cerun dan laluan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 2:18 PM