JOHARI sedang menyimpan barangan kegunaan bersawah berikutan musim banjir sudah tiba. FOTO Nazdy Harun
JOHARI sedang menyimpan barangan kegunaan bersawah berikutan musim banjir sudah tiba. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: Bencana banjir yang berlaku dua kali pada tahun lalu masih meninggalkan kesan kepada 25 peserta Tanaman Padi Berkelompok, Kampung Tok Lawit, dekat sini.

Ketua Unit Peladangnya Johari Chik, 60, berkata ekoran kejadian banjir terbabit, sebanyak 48 hektar sawah padi masih belum dapat diusahakan hingga kini.

Menurutnya, kebiasaannya petani menanam padi tiga kali dalam tempoh dua tahun, namun aktiviti berkenaan tidak dapat dilakukan, tahun ini berikutan kerja pembaikan sistem pengairan sedang dilakukan.

"Kejadian banjir pada Februari dan Disember tahun lalu mengakibatkan pengeluaran padi menurun hingga 70 metrik tan sahaja.

"Selepas banjir, pokok mengalami penyakit apabila tangkai tidak mengeluarkan padi selain batangnya juga buruk," katanya memaklumkan sawah berkeluasan 48 hektar itu mampu mengeluarkan hasil mencecah 180 metrik tan padi setiap musim menuai.

Menurutnya, kerugian akibat banjir tahun lalu melebihi RM100,000 dan pihaknya menjangkakan akan melakukan tanaman semula pada pertengahan Januari tahun depan.

Katanya, dalam tempoh setahun ini, peserta terpaksa melakukan kerja-kerja lain termasuk mengambil upah melakukan kerja kampung bagi menyara keluarga.

"Setiap tahun apabila berlaku banjir pasti ada sawah yang terkesan, namun pendapatan peserta tidak begitu merosot berbanding tahun lalu yang mengakibatkan kerja-kerja sawah terpaksa ditangguh hingga kini.

"Namun, apa yang berlaku tahun lalu amat meninggalkan kesan apabila pendapat peserta merosot dan hingga kini masih belum boleh mengusahakan tanah sawah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 1:36 PM