YAHAYA (tiga, kanan) menunjukkan gambar kad debit dan kredit yang disasarkan sindiket selain barang rampasan lain susulan penahanan dua lelaki 17 Nov lalu. FOTO Asrol Awang.
YAHAYA (tiga, kanan) menunjukkan gambar kad debit dan kredit yang disasarkan sindiket selain barang rampasan lain susulan penahanan dua lelaki 17 Nov lalu. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


Kuantan: Polis berjaya menumpaskan sindiket menggodam kad debit dan kredit yang menyasarkan mangsa dari Timur Tengah.

Kegiatan kumpulan itu dipatahkan susulan penahanan dua lelaki warga tempatan dan China di sebuah rumah di sini, dalam Ops Dadu, 17 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, perintah tahanan reman suspek berusia 23 dan 24 tahun yang berakhir hari ini akan dilanjutkan.

Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket itu menggunakan laman web palsu untuk mempromosikan iklan barangan bagi menarik mangsa dari Timur Tengah, supaya mendaftar butiran kad debit dan kredit.

"Selepas sindiket berjaya menceroboh akaun kad mangsa, butiran kad itu akan dipaparkan ke laman sesawang yang dikawal sindiket dan diubah setiap hari.

"Pada laman sesawang itu, terpapar maklumat 16 angka kad kredit dan debit, nama pemilik kad, nama bank, nombor keselamatan kad kredit (CVV), tarikh luput dan nombor pas pengesahan transaksi (OTP).

"Ahli sindiket kemudian menggunakan aplikasi wallet iPhone untuk mengimbas kad kredit dan debit digital pada web berkenaan sebelum menggodam ia hingga transaksi berjaya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kad yang digodam itu dari pelbagai bank negara di Timur Tengah.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati anggaran keuntungan diperoleh sindiket dianggar antara RM20,000 dan RM30,000 sehari dan kegiatan dipercayai aktif sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, anggaran kerugian yang dialami mangsa dari Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turkiye masih dalam siasatan.

"Dengan penanahan dua suspek, sebanyak 101 telefon bimbit, 83 kabel pengecas telefon bimbit, 14 terminal pembayaran mudah alih, tiga komputer, dua pengecas mudah alih dan tiga rak kayu dirampas.

"Polis masih mengesan ahli sindiket lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (B) (2) Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:06 PM