FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Oleh Omar Ahmad

[email protected]

Johor Bahru: Jenayah siber membabitkan kes wang berkurangan dari akaun bank di Johor meningkat tujuh kali ganda setakat kelmarin iaitu 173 kes berbanding 26 kes tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia membabitkan jumlah kerugian yang tinggi iaitu RM4.5 juta berbanding RM500,000 dalam tempoh sama.

Katanya, siasatan mendapati kes wang berkurangan dari akaun bank disebabkan dua faktor utama.

"Faktor pertama atau modus operandi yang digunakan ialah mangsa menerima panggilan dari suspek yang mengaku sebagai penguat kuasa atau pihak tertentu yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan akaun bank mereka akan dibekukan.

"Suspek kemudiannya menawarkan untuk membantu mangsa dan meminta mangsa memberikan atau mendedahkan maklumat perbankan yang penting seperti nombor akaun bank, kod pengesahan kad (CVC) atau nilai pengesahan kad (CVV), nama pengguna dan kata laluan serta nombor laluan sekali sahaja (OTP).

"Modus operandi kedua, mangsa tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditemui secara dalam talian dan diarahkan untuk menekan pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran dan membuat pembayaran.

"Mangsa memasukkan butiran perbankan masing-masing melalui pautan tersebut tanpa sedar maklumat itu dihantar kepada pihak yang tidak sepatutnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Menurut Kamarul Zaman, mangsa menyedari berlaku pengurangan wang di dalam akaun bank hanya selepas membuat semakan penyata akaun atau menerima notifikasi daripada bank.

"Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak berkaitan.

"Orang ramai digalakkan membuat bayaran secara atas talian menerusi laman web rasmi bank berkenaan dan bukannya menerusi pautan yang diberikan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi.

"Polis juga menyarankan agar orang ramai memuat turun aplikasi yang disediakan pihak bank dikenali sebagai 'secure verification' atau pengesahan keselamatan bagi meluluskan sesuatu transaksi perbankan atas talian dengan cara lebih selamat," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 10:20 AM