Mohd Azam Shah Yaacob


ORANG ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) menawarkan kredit RM100 percuma untuk ditebus berikutan ia digunakan sindiket untuk tujuan penipuan.

SMS tertera 'Free RM100 MCMC Redeem Now' (Tebus Sekarang RM100 Percuma daripada MCMC), kononnya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan, digunakan sindiket bagi mendapatkan butiran peribadi individu yang terpedaya.

SKMM, menerusi portal 'sebenarnya.my' memaklumkan tidak ada menawarkan kredit RM100 percuma berkenaan dan pautan alamat sesawang atau URL di dalam SMS berkenaan akan membawa anda kepada laman sesawang palsu memaparkan borang bagi membuat pendaftaran kredit SMS percuma secara dalam talian.

Borang pendaftaran secara dalam talian itu akan meminta orang ramai untuk mengisi maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor telefon bimbit, alamat emel, butiran kad bank seperti nombor kad dan nombor pengesahan nilai kad (CVV) termasuk tarikh luput.

Dalam borang itu juga dimaklumkan kononnya individu yang berjaya membuat pendaftaran berkenaan akan dihadiahkan kredit RM100 secara pindahan perbankan.

Bagaimanapun, kesemua maklumat berkenaan digunakan sindiket bagi mengambil wang di dalam akaun milik individu yang terpedaya dengan SMS berkenaan.

Justeru, SKMM meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan memberikan butiran peribadi serta butiran kad bank atau maklumat perbankan selain tidak berkongsi pautan SMS berkenaan termasuk menggunakan aplikasi sosial.

Orang ramai yang menerima SMS berkenaan boleh membuat laporan kepada SKMM di talian 1800-188-030 atau di talian Whatsapp 016-2206262 selain emel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 9:50 AM