Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) kembali meriah selepas enam tahun tidak dianjurkan, dan menerima sambutan hebat golongan muda.

Acara deklamasi puisi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan 'Bahasa Jiwa Bangsa' itu diadakan bagi memupuk minat dan kecintaan seni sastera, bahasa Melayu serta budaya tanah air dalam kalangan rakyat.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, pihaknya mahu mengembalikan tradisi Malam Puisi Riong selepas terhenti pada 2018.

"Puisi dan sastera menjadi senjata ampuh dalam kita mengangkat nilai kemanusiaan, terutama ketika dunia menyaksikan keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, pembunuhan lebih 11,000 orang awam dengan dua pertiganya adalah wanita serta kanak-kanak termasuk bayi tidak berdosa.

"Justeru dalam era teknologi maklumat, puisi boleh digunakan sebagai antara bentuk protes dan kecaman kepada rejim Israel serta pembelaan rakyat Palestin kerana ia berupaya melampaui dinding dan pentas, sebaliknya berkumandang dari timur ke barat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Malam Puisi Riong di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP di sini, malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim; Timbalan Ketua Pengarang BH, M Thillinadan dan Pengerusi Jawatankuasa Malam Puisi Riong Merangkap Pengarah Berita Mingguan/Rencana BH, Mohd Nazmi Yaakub.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaini berkata, penganjuran Malam Puisi Riong yang mengabadikan nama Jalan Riong iaitu lokasi Balai Berita NSTP pada awalnya hanya diadakan di Balai Berita sebelum melebarkan sayap ke universiti awam seluruh negara.

Selain itu, katanya, acara berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berharap, ia akan terus mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dalam memberikan sumbangan kepada kesusasteraan, bahasa serta budaya.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zaini turut membacakan puisi mengenai keadaan di bumi Palestin dan Johari membacakan puisi bertajuk 'Dari mulut ke mulut'.

Turut memeriahkan acara adalah sasterawan negara, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan dan Datuk Rahman Shaari; penyair legenda tanah air yang terkenal dengan karya Suara, Pyanhabib; pelakon, Sabri Yunus serta isterinya Ardini Angeline Tan.

Antara pembaca puisi lain adalah Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ghazali Din; pelakon, Fathia Latiff dan Ketua Pengajian Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norzizi Zulkifli.

AHMAD Zaini menyampaikan cenderahati kepada Dr Hazami sambil disaksikan Johari pada Malam Puisi Riong BH-DBP, malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin.
AHMAD Zaini menyampaikan cenderahati kepada Dr Hazami sambil disaksikan Johari pada Malam Puisi Riong BH-DBP, malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 12:07 AM