DR Hazami pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji. FOTO Nik Abdullah NIK Omar
DR Hazami pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji. FOTO Nik Abdullah NIK Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Tiada keperluan untuk meletakkan bahasa lain selain bahasa kebangsaan di papan tanda atau papan iklan kecuali paparan itu bersifat antarabangsa.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari berkata, setiap papan tanda atau iklan yang ingin dinaikkan, perlu mendapat pengesahan bahasa dari pihaknya.

Menurutnya, selagi tidak mendapat kelulusan pengesahan, papan tanda itu tidak boleh dipaparkan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan ia dipaparkan atau dinaikkan.

"Dalam konteks negara kita, semua memahami bahasa kebangsaan, tiada keperluan untuk letak bahasa lain sebab kita semua faham kecuali untuk urusan yang bersifat antarabangsa.

"Pada 2020, kita sudah keluarkan pekeliling daripada perkhidmatan awam mengenai garis panduan pelaksanaan bahasa kebangsaan yang cukup jelas di mana setiap urusan dalam negara atau acara rasmi mesti menggunakan bahasa kebangsaan termasuk paparan papan iklan di tempat awam.

" Setiap iklan yang ingin dinaikkan atau dipaparkan perlu mendapat pengesahan bahasa daripada DBP dan di sini lah kami menggunakan kuasa untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan betul dan baik dipaparkan di iklan tempat awam," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Hazami berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 yang dirasmikan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini.

Ketika ditanya penggunaan bahasa rojak yang semakin ketara dalam kalangan rakyat negara ini terutama golongan muda, Hazami berkata, situasi itu tidak mampu dikawal sebaliknya peranan media massa sangat penting dalam usaha mengawalnya.

Di pihak DBP pula, pihaknya mempunyai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang boleh diakses 24 jam untuk memastikan penggunaan bahasa yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 12:29 PM