ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Putrajaya, Putrajaya, hari ini. FOTO Ihsan JIM.
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Putrajaya, Putrajaya, hari ini. FOTO Ihsan JIM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 377 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu yang dijalankan bersama Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula jam 5 pagi tadi membabitkan 150 pegawai daripada kedua-dua agensi terbabit.

Katanya, terdapat dua lokasi pemeriksaan dijalankan JPJ dan JIM di jalan utama untuk masuk ke Putrajaya dari arah Kajang dan Bangi dalam operasi terbabit.

"Dalam operasi ini, seramai 600 warga asing diperiksa dengan 377 Pati berusia antara 25 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, 250 Pati wanita dan 127 Pati lelaki terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India dan Sri Lanka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan awam berhubung Pati disyaki menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki pas atau dokumen pengenalan diri sah.

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Beliau mengingatkan semua majikan supaya tidak menggajikan Pati.

"Sekiranya masih berdegil menggunakan Pati sebagai pekerja, majikan akan dikenakan tindakan tegas iaitu ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap Pati yang digajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 1:04 PM