Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media selepas Perasmian Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media selepas Perasmian Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) komited menggalakkan orang ramai melupuskan wang tidak patuh syariah sama ada melalui tunai, cek mahupun transaksi dalam talian kepada Baitulmal MAIS.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada tahun lalu, MAIS menerima kutipan wang tidak patuh syariah sebanyak RM1.8 juta daripada kira-kira 2,000 individu berbanding 2021 berjumlah RM1.5 juta.

"Pada tahun ini, MAIS menyasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan wang tidak patuh syariah daripada orang ramai menerusi Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS.

"Mengikut rekod, dari Januari hingga Oktober tahun ini, MAIS menerima kutipan wang tidak patuh syariah berjumlah RM1.67 juta.

"Wang atau harta tidak patuh syariah ini bermaksud ia diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Harta Halal Harta Berkat dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS Tahun 2023 di Masjid Negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana dituntut hukum syarak.

"Menerusi kempen dijadualkan sehingga 13 Disember depan, MAIS mengajak orang ramai membersihkan harta yang diperoleh agar kehidupan dilalui penuh dengan keberkatan.

"MAIS berharap agar masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti atau perniagaan diceburi bertepatan dengan hukum syarak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 1:17 PM