Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) diiringi Pengarah Baitumal Majlis Agama Islam Selangor, Indera Shahril Mohd Shahid (kanan) pada Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor 2024 di Hotel Concorde, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) diiringi Pengarah Baitumal Majlis Agama Islam Selangor, Indera Shahril Mohd Shahid (kanan) pada Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor 2024 di Hotel Concorde, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta tahun ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sasaran itu susulan kejayaan mengutip sebanyak RM12.5 juta pada tahun lalu berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM11.5 juta.

Katanya, pihaknya juga menyediakan kalkulator fidyah puasa dalam memudahkan masyarakat Islam untuk melaksanakan kiraan fidyah.

"Seperti sedia maklum, fidyah adalah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

"Hukum membayar fidyah ini adalah wajib. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam di Selangor ini, untuk menyegerakan bayaran fidyah melalui MAIS," katanya ketik berucap pada pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS dan majlis penghargaan rakan strategik serta rakan media, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat memberikan kepercayaan dengan menunaikan fidyah kepada MAIS atau ejen yang telah dilantik agensi itu seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS); Malaysia E-Government (MYEG); Bank Muamalat Malaysia Berhad; As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.

Mengulas mengenai kempen yang berlangsung sejak 13 Februari hingga 11 Mac depan, Abdul Aziz menjelaskan sebagai satu usaha dalam menyampaikan informasi terkini berkaitan fidyah khususnya di Selangor selain mencapai sasaran telah dipersetujui itu.

"Antara aktiviti yang dijalankan Live Tiktok MAIS, OPS Tunai Fidyah di lapangan, pembukaan Kaunter Runding Cara Baitulmal di daerah-daerah dan aktiviti agihan fidyah di lokasi terpilih.

"Saya juga berharap menerusi kempen ini semua masyarakat Islam mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menunaikan kewajipan puasa dan membayar fidyah.

"Jangan mengambil mudah perkara berkaitan hukum hakam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:54 PM