MAIS mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan sumbangan daripada peruntukan Baitulmal MAIS. FOTO Facebook MAIS
MAIS mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan sumbangan daripada peruntukan Baitulmal MAIS. FOTO Facebook MAIS
Norzamira Che Noh


SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19 termasuk penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) dengan 376 keluarga sudah menerima bantuan masing-masing semalam.

MAIS dalam kenyataan memaklumkan, bantuan berbentuk makanan asasi seperti beras, minyak, gula, tepung dan lain-lain itu disalurkan kepada penerima di sekitar Gombak (277 keluarga), Hulu Langat (79 keluarga) dan Hulu Selangor (20 keluarga) dengan peruntukan berjumlah RM37,600.

Daripada jumlah itu, 277 keluarga adalah dari KOA Ulu Kuang (71), Sungai Buloh (37) dan Batu 12, Gombak (169).

Menurut kenyataan itu lagi, kriteria penerima sumbangan daripada peruntukkan fidyah adalah mereka yang tergolong sebagai asnaf fakir miskin terutamanya yang terkesan dengan pendemik Covid-19 sehingga terjejas punca pendapatan dan juga tergolong dalam miskin sementara.

Katanya, bagi Orang Asli bukan Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dibantu dengan sumbangan daripada peruntukan Baitulmal MAIS.

"MAIS berharap dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan penerima.

"Pihak MAIS juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Rakan Strategik Fidyah MAIS (RSAFM) yang banyak membantu dalam mengenalpasti mereka yang memerlukan dan mengagihkan bantuan terutamanya di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:45 AM