Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bekas anggota Unit Tindakhas (UTK) Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 sudah dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia semalam.

"Saya sahkan beliau sudah dibebaskan dari tahanan di Australia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya adakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan membawa pulang Sirul, Razarudin berkata, soal permohonan membawa pulang Sirul perlu dirujuk dengan Peguam Negara.

Media hari ini melaporkan bekas Koperal UTK itu dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian, termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.

Menurut laporan media itu lagi, berita pembebasan Sirul Azhar disahkan anak lelakinya, Shukri Azam, yang kini turut menetap di Australia.

Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar Umar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:28 PM