GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada pegawai SPRM yang ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

SPRM berkata, pegawai SPRM juga dilarang terbabit dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP).

"Selain itu, berhubung isu penyelewengan dana Mitra, SPRM sudah selesai membuat siasatan terhadap isu berkenaan dari 2019 ke 2021.

"Susulan itu, SPRM berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh telah mengaku salah," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata demikian merujuk laporan dua akhbar berbahasa Inggeris pada 11 November 2023 yang bertajuk 'MACC stations officer at Mitra for greater transparency' dan 'MACC Officers to join Mitra meeting'.

Mengulas lanjut, katanya, hasil dapatan siasatan, SPRM juga mengambil tindakan mengkaji tatakelola pengurusan dana Mitra untuk mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana kepada masyarakat India di negara ini.

"Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh Mitra telah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022 sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.

"Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 1:04 PM