DR Mohd Na’im, gambar fail. FOTO Bernama
DR Mohd Na’im, gambar fail. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kebenaran untuk mana-mana tokoh agama termasuk pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah dan pengajaran agama tertakluk di bawah bidang kuasa agama negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti Negeri bertanggungjawab mengeluarkan tauliah mengajar atau kebenaran khas kepada individu yang layak.

Ini kata beliau termasuk penceramah dari luar negara bagi menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajian di negeri berkaitan.

"Bagi penceramah dari luar negara yang ingin menyampaikan ceramah atau mengajar agama Islam, mereka juga perlu memohon kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab di negeri berkenaan.

"Mereka yang diberi kebenaran adalah tertakluk kepada peraturan dan syarat ditetapkan," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mengapa Dr Zakir masih lagi tidak dibenarkan menyampaikan ceramahnya di negara ini serta garis panduan jemputan penceramah luar negara bagi menyampaikan ceramah di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, pihak berkuasa agama negeri boleh mengambil tindakan dengan melarang penceramah yang didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

"Setiap penceramah daripada luar negara perlu memahami realiti kemajmukan masyarakat di negara ini dan hendaklah memastikan tiada isu sensitif serta kontroversi dibangkitkan sehingga boleh menggugat keharmonian, perpaduan dan kerukunan hidup masyarakat majmuk di negara ini," katanya.

Pada Ogos 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang penceramah terkenal Dr Zakir menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum di negara ini.

Larangan itu dikeluarkan dipercayai berkaitan dengan kenyataan dibuat pendakwah itu ketika berceramah yang didakwa berbaur perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:47 PM