Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. FOTO arkib NSTP
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kebenaran untuk tokoh agama termasuk pendakwah terkenal Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah dan pengajaran agama tertakluk di bawah bidang kuasa agama negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Majlis Agama Islam dan Jabatan Mufti negeri bertanggungjawab mengeluarkan tauliah mengajar atau kebenaran khas kepada individu yang layak termasuk penceramah dari luar negara bagi menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajian.

"Bagi penceramah dari luar negara yang ingin menyampaikan ceramah atau mengajar agama Islam, mereka perlu memohon kebenaran daripada pihak bertanggungjawab di negeri berkenaan.

"Mereka yang diberi kebenaran adalah tertakluk kepada peraturan dan syarat ditetapkan," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mengapa Dr Zakir masih tidak dibenarkan menyampaikan ceramah di negara ini selain garis panduan jemputan penceramah luar negara.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, pihak berkuasa agama negeri boleh mengambil tindakan dengan melarang penceramah yang didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

"Setiap penceramah dari luar negara perlu memahami realiti kemajmukan masyarakat di negara ini dan hendaklah memastikan tiada isu sensitif serta kontroversi dibangkitkan sehingga boleh menggugat keharmonian, perpaduan dan kerukunan hidup masyarakat," katanya.

Pada Ogos 2019, Polis Diraja Malaysia mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang Dr Zakir menyampaikan ceramah awam.

Larangan itu dikeluarkan dipercayai berkaitan dengan kenyataan dibuat pendakwah terbabit ketika berceramah yang didakwa berbaur perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 3:36 PM