DR Zakir beramah mesra dengan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau.
DR Zakir beramah mesra dengan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Kehadiran pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik tidak mengganggu gugat keamanan di negeri ini.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin menyifatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai radikal berikutan tindakan mereka membuat laporan polis beberapa hari sebelum kehadiran pendakwah terkenal itu.

“Kehadiran beliau (Zakir Naik) ke negeri ini atas kapasiti menerangkan sains. Tiada langsung kenyataan dalam ceramah umumnya mengajak kepada keganasan meskipun pemimpin di negara asalnya melarang beliau meneruskan dakwahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program syarahan pengasas Yayasan Kajian Islam India itu di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertajuk al- Quran dan Sains: Konflik atau Pertemuan, di sini, semalam.

Dr Mohd Asri berkata, beberapa NGO dalam negara ini bertindak melulu apabila menggunakan kenyataan dari luar untuk diimplimentasikan dalam negara ini.

Katanya, kehadiran pendakwah terkenal itu atas kapasiti ilmu dan akademiknya bagi menerangkan pada umum mengenai hubung kait sains dan Islam.

Dalam program itu yang dihadiri lebih 600 hadirin itu, menyaksikan seorang wanita Hindu dari India, R A Shivaleela, 40, memeluk Islam ketika sesi soal jawab antara Zakir dan hadirin.

Pengislaman wanita itu jam 11.50 pagi juga disaksikan secara langsung di seluruh dunia melalui Facebook Suara Sunnah.

Harian Metro difahamkan wanita berusia 40-an itu masih menuntut di Universiti Utara Malaysia dan mengikuti program terbabit atas jemputan khas daripada UniMAP.

Selain menyampaikan syarahan umum, Zakir turut diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri, di Arau.

Baru-baru ini, beberapa persatuan membuat laporan polis meminta ceramah umum Dr Zakir dibatalkan atas faktor keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 8:03 AM