Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan kepercayaan kepada ketentuan Allah SWT berhubung keputusan empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq, 30, tiba di Kompleks Mahkamah di sini 9.30 pagi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membaca keputusan di akhir kes pembelaan itu pada 10 pagi.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman untuk membersihkan nama saya.

"Bertahun-tahun saya berlawan di mahkamah dan tidak tunduk kepada sebarang ugutan serta sogokan, saya yakin kebenaran akan menang. Insya-Allah doakan," katanya.

Jika mahkamah memihak kepada pihak pembelaan dengan berpendapat bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya menimbulkan keraguan munasabah, beliau akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Bagaimanapun, jika mahkamah berpandangan sebaliknya, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berdepan hukuman penjara atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun, manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Terkini: Syed Saddiq bersalah atas 4 pertuduhan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 10:02 AM