SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada dilepaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diketahui pada 9 November ini.

Berdasarkan semakan dalam sistem kehakiman hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid akan menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan itu pada 9 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu.

Pada 14 Mac lalu, pasukan pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan termasuk Syed Saddiq yang memberi keterangan membela diri dua hari bermula 22 Februari lalu.

Syed Saddiq, 30, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu di akhir kes pendakwaan pada 28 Oktober tahun lalu.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 27 September tahun lalu selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Mei 2022 dan antara saksi pendakwaan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Armada itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:51 PM