GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menyifatkan keluasan cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh kerajaan Kelantan membabitkan 514,898 hektar adalah sangat besar.

Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin berkata, jumlah itu adalah 81 peratus daripada keseluruhan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan.

Beliau turut mempersoalkan apakah kerajaan negeri tidak mengambil serius kepentingan dan sensitiviti kawasan HSK di negeri itu.

"Kerajaan negeri sepatutnya bertindak mengikut peraturan. Dengan keputusan pemansuhan ini, ia bercanggah dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang mana Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah seharusnya melaksanakan ketetapan dalam Rancangan Fizikal Negara.

"Pertanyaan kami apakah motif utama kerajaan negeri mahu mansuhkan status Kawasan Sensitif Alam Sekitar dalam skala yang besar melainkan tindakan menghilangkan status ini sebagai salah satu rancangan untuk memusnahkan dan mengeksploitasi kawasan HSK secara besar-besaran?" katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan menjelaskan cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS hanya membabitkan 514,898 hektar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengubahsuaian itu tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan.

Ini kerana katanya, Kelantan masih lagi mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS seluas 514,898 hektar.

Mengulas lanjut, Hafizudin merayu kerajaan negeri menarik semula keputusan tidak masuk akal berkenaan sekali gus komited memulihara dan memelihara khazanah alam di negeri itu.

Katanya, fikirkan nasib rakyat dan komuniti setempat yang bakal terjejas akibat kehilangan hutan yang bakal mengancam sektor makanan, bekalan air, bencana alam dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:25 PM