NIK Nazmi Nik Ahmad. FOTO Hairul Anuar Rahim
NIK Nazmi Nik Ahmad. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak bersetuju dengan keputusan negeri Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan yang berkaitan dengan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri terbabit.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata NRECC menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan menyatakan pandangan Kerajaan Persekutuan agar menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan KSAS, seterusnya bersama-sama memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan sedia ada demi kelestarian alam sekitar.

Katanya, Kerajaan Negeri Kelantan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke 22/2020 pada 21 Oktober 2020, memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

"Keputusan pengubahsuaian KSAS secara langsung akan memberikan implikasi yang besar seperti menjejaskan dasar Kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN).

"Selain itu, pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus sekali gus menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine serta keseimbangan ekosistem.

"Ini kerana kawasan ini adalah KSAS Tahap 1 yang merangkumi kawasan perlindungan sedia ada.

"Malah, tindakan ini juga dilihat akan memberi impak secara tidak langsung kepada morfologi sungai yang mana aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai, seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga dilihat dapat menyumbang kepada masalah banjir.

"Tambahan pula, selama lebih daripada satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal.

"Justeru, NRECC ingin menekankan semua rancangan struktur yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) hendaklah selaras dengan polisi di dalam RFN dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 sedia ada yang diwartakan pada 31 Disember 2020.

"Sebarang proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan membabitkan KSAS yang tidak menepati polisi RFN akan bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan yang ditetapkan dalam RFN," katanya.

Menurutnya, KSAS sedia ada di Kelantan hendaklah terus dikekalkan dalam Rancangan Pemajuan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas) bagi memastikan pemeliharaan serta pemuliharaan kepelbagaian biologi atau kemampanan alam sekitar HSK terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:26 PM