Tan Sri Dr Mohd. Zahidi Zainuddin (kiri) pada sidang akhbar sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran
Tan Sri Dr Mohd. Zahidi Zainuddin (kiri) pada sidang akhbar sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga atlet dari Perak termasuk pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) iaitu Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Selain Azeem yang memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki; pingat PJK turut dianugerahkan kepada Shereen Samson Vallabouy yang memenangi pingat gangsa dalam acara 400 meter dan 4x100 meter perempuan; dan kepada Muhd Shafiq Puteh yang memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 3 meter papan anjal seirama.

Mereka bertiga adalah antara 33 penerima PJK yang akan dianugerahkan pingat yang tidak membawa gelaran itu dalam Istiadat penganugerahan bagi sesi kedua yang akan berlangsung pada 18 November ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan pingat itu kepada tiga atlet berkenaan atas kejayaan memenangi pingat di Sukan Asia 2022.

"Daripada seramai 238 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan pingat kepada ahli sukan dari negeri Perak yang berjaya memenangi pingat di Sukan Asia 2022," katanya dalam sidang media Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-67 Sultan Nazrin di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.

Mohd Zahidi berkata, pengurniaan itu dianggap suatu pembaharuan bagi sambutan tahun ini berbanding sebelumnya.

Katanya, sambutan tahun ini berbeza apabila Sultan Nazrin akan membiayai sendiri hidangan istimewa makan tengahari 7,100 banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dengan program itu dikelolakan oleh Jabatan Penjara Perak.

"Atas sifat prihatin dan ihsan terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di negeri Perak, baginda menzahirkan hasrat perkenan untuk membiayai hidangan makanan tengah hari berkenaan.

"Saya akan mewakili baginda di Penjara Taiping; Orang Besar Jajahan (OBJ) Larut, Matang dan Selama akan mewakili baginda di Pusat Koreksional Kamunting; OBJ Kinta akan mewakili baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah; dan OBJ Batang Padang akan mewakili baginda di Penjara Tapah," katanya.

Sambutan hari keputeraan Sultan Nazrin tahun ini akan bermula dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yassin dan doa selamat yang diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat.

Majlis sama turut diadakan di semua Masjid-masjid Daerah seluruh Perak dan diketuai oleh OBJ dan Pegawai Daerah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 12:53 AM