SULTAN Nazrin menganugerahkan pingat AMP kepada Mehmet. FOTO/NSTP
SULTAN Nazrin menganugerahkan pingat AMP kepada Mehmet. FOTO/NSTP
Shaarani Ismail dan Mohd Hafizee Mohd

KUALA KANGSAR: Wira pasukan bola sepak Perak yang berjaya menamatkan kemarau 18 tahun menjuarai Piala Malaysia dianugerahkan pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-62, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Penganugerahan pingat itu diketuai ketua jurulatih, Mehmet Durakovic yang menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) manakala seramai 28 pemain dan pegawai pasukan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Antara pemain yang menerima PJK adalah Nazrin Nawi, Hafiz Kamal, Khairul Anuar Zamri, Idris Ahmad, Khairul Amri Sallehuddin, Rafiuddin Roddin, Nizad Ayub, Firdaus Saiyadi dan Syazwan Zaipol Bahari.

Selain itu, turut menerima PJK lima pemain utama pasukan itu yang sedang beraksi untuk skuad negara pada Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 iaitu Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim dan D Kenny Pallraj.

Bagaimanapun, lima pemain itu tidak dapat hadir pada penerimaan pingat itu berikutan berada dalam kem latihan skuad negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Laos, Isnin ini.

Turut berada dalam senarai penerima tiga pemain import Gilmar Jose Da Silva Filho, Wander Luiz Bittencourt Junior dan Leandro Dos Santos De Oliviera serta pemain naturalisasi, Brendan Gan.

Manakala tiga pegawai pasukan itu yang menerima pingat adalah Dr S Vijay Babu, Sam Pakiaraj Victor Davaraj dan Roslan Khan Md Sharif.

Skuad The Bos Gaurus berjaya menewaskan Terengganu FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada 27 Oktober lalu.

Kemenangan itu membolehkan pasukan digelar Kejor Yob Kejor itu membawa pulang Piala Malaysia dan menamatkan penantian selama 18 tahun.

Sementara itu, pada istiadat sama, dua bekas atlet negara iaitu bekas atlet lompat tinggi, Loo Kum Zee @ Loh Kum Zee, 44, dan bekas atlet memanah negara, Mon Redee Sut Txi , 36, turut dianugerahkan pingat AMP.

Kum Zee yang juga ketua kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 memenangi pingat gangsa pada kejohanan peringkat Asia pada 1995, 1998, 2002 dan 2003 serta pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Manakala, Mon Redee pula bekas atlet memanah yang pertama layak mewakili negara ke Sukan Olimpik Athens 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 1:54 PM