KAWASAN tebing Sungai Tebrau, Johor Bahru yang dipenuhi sampah sarap. FOTO Omar Ahmad
KAWASAN tebing Sungai Tebrau, Johor Bahru yang dipenuhi sampah sarap. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Hampir 70 peratus tebing sungai di Sungai Tebrau dan Sungai Pandan dipenuhi sampah seperti botol, bekas makanan dan beg plastik.

Tinjauan Harian Metro mendapati, aliran air selepas air pasang besar semalam menyebabkan sejumlah sampah sarap tersangkut di pokok di tebing sungai berkenaan.

Malah, ada juga penghuni beberapa rumah di tepi sungai terbabit menjadikan bahagian belakang rumah di tebing sungai sebagai lokasi pembuangan sampah.

Penduduk yang tinggal di jajaran Sungai Tebrau yang hanya mahu dikenali sebagai Rambo, 50, berkata, situasi sampah di sungai berkenaan sudah lama wujud kerana sikap masyarakat sendiri.

Katanya, di Kangkar Tebrau ini, selain segelintir penduduk tempatan, ramai warga asing mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke sungai.

"Di kawasan ini, ada disediakan dua tong sampah besar. Sebahagian besar warga asing perlu berjalan kira-kira 200 meter untuk ke tong sampah besar.

"Saya kaki pancing, ada kalanya saya duduk di tepi sungai di waktu malam. Saya sering lihat etnik Rohingya yang tinggal di sini membuang sampah dalam atau tepi sungai.

"Saya sentiasa sergah mereka jika saya dapati mereka membuang sampah. Etnik Rohingya ini akan kutip semula sampah sebelum melarikan diri.

"Cuma, ia ketika saya nampak, pada masa lain mungkin lebih banyak sampah yang dibuang ke sungai," katanya ditemui di kawasan perumahan Kangkar Tebrau di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fadzil Karyadi, 67, berkata, kawasan tebing sungai umpama 'pesta' pada setiap petang memandangkan lebih 70 peratus etnik Rohingya mendiami lokasi berkenaan.

Katanya, sampah selain sisa makanan yang mereka bawa ketika bersantai dibiarkan di kawasan tebing sungai.

"Etnik Rohingya ini tidak tahu menjaga kebersihan, mereka membuang sampah di merata-rata tempat.

"Ada kalanya, saya akan jerit kepada mereka yang membuang sampah supaya beredar," katanya.

Menurut Fadzil, dia hanya mampu menjaga kebersihan di kawasan tebing sungai berhampiran rumahnya selain membersihkan sampah sarap sekadar termampu.

"Saya marah kerana mereka membuang pelbagai jenis sampah termasuk lampin pakai buang. Sungai Tebrau ini ada banyak sampah, ditambah sampah dibuang individu pemalas dan pengotor ini," katanya.

Jelas Fadzil, pihak berkuasa perlu membuat pemantauan bukan sahaja dari segi kebersihan sungai, malah tahap keselamatan selain penempatan etnik Rohingya terbabit.

"Saya tinggal di kawasan ini sejak 10 tahun lalu, namun empat tahun kebelakangan ini, semakin ramai etnik Rohingya menetap di sini.

"Pihak berkuasa perlu ambil tindakan kerana akhirnya kawasan ini bukan saja menjadi lokasi pembuangan sampah, malah mungkin menjadi koloni etnik Rohingya," katanya.

KEADAAN di belakang rumah di tebing   Sungai Pandan, Johor Bahru turut dipenuhi sampah. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN di belakang rumah di tebing Sungai Pandan, Johor Bahru turut dipenuhi sampah. FOTO Omar Ahmad

Syor PBT perkenal prarawatan asas

Pembersihan sungai tercemar bukan sahaja perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi kutipan sampah, malah memerlukan kaedah yang teratur dan lestari.

Pengarah Kampus Lestari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, pencemaran sungai tidak hanya berlaku disebabkan sampah fizikal.

Kata beliau, antara faktor pencemaran sungai boleh berlaku adalah disebabkan aliran air akibat kewujudan premis haram, kawasan industri dan kawasan perumahan di sepanjang kawasan sungai terbabit.

Justeru, beberapa cadangan jangka pendek, sederhana dan panjang wajar dipertimbangkan.

"Bagi cadangan jangka pendek, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat mekanisma baharu supaya kadar pelepasan sisa ke sungai oleh premis berkaitan tidak melebihi kapasiti sungai itu sendiri.

"Tindakan sistematik seperti melihat semula pemberian lesen kepada premis yang melepaskan air ke sungai boleh dilakukan bagi memastikan pelepasan dihadkan kepada kadar minimum," katanya di UTM.

Jelas Mohd Fadhil, bagi jangka sederhana, data yang diperoleh daripada stesen pemantauan membabitkan sungai perlu dibuka kepada orang awam supaya masyarakat lebih cakna dengan pencemaran persekitaran.

Kata beliau, ada kira-kira 1,300 stesen pemantauan di seluruh negara dengan Johor memiliki hampir 15 stesen.

"Saya melihat, pelan pembangunan di bawah rancangan kajian tempatan sudah ambil kira proses membuat pembangunan baru yang mesti menggunakan data asas ini.

"Kita sebenarnya perlu laksanakan data sains. Data sains pula perlu ada dalam mana-mana pembangunan baharu dan lama di peringkat kerajaan negeri, PBT dan sebagainya," katanya.

Bagi cadangan jangka panjang, paling penting untuk dilaksanakan selain pelaksanaannya memberi impak kepada pemuliharaan sungai ialah prarawatan asas kepada premis.

"PBT dicadangkan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu prarawatan asas terutama membabitkan premis seperti bengkel, kedai makan, perumahan dan sebagainya.

"Dengan kaedah ini (prarawatan asas), sebelum air masuk ke satu sistem untuk dihantar ke loji kumbahan dan sebagainya, ia perlu melalui proses ini.

"Contoh, jika dilihat di pasar basah, biasanya ada perangkap gris (lemak) dan sampah, gris ini memerangkap lemak, tetapi air masih tercemar.

"Ia masih dipenuhi bahan organik kimia yang perlu dirawat sebelum dimasukkan dalam sistem kumbahan. Jadi, ini yang perlu dilakukan untuk jangka panjang, setiap premis perlu ada prarawatan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 8:11 AM