IBU pejabat MyAirline di Subang Jaya, Selangor. FOTO Aswadi Alias.
IBU pejabat MyAirline di Subang Jaya, Selangor. FOTO Aswadi Alias.
BERNAMA

Sepang: Sekumpulan pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasinya sejak 12 Oktober lalu membuat laporan polis berkenaan tunggakan gaji mereka, hari ini.

Kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, yang diiringi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor.

Kamarul Baharin memberitahu media bahawa laporan polis itu dibuat kerana MYAirline didakwa gagal membuat pembayaran gaji serta tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Mei lalu.

Penggantungan operasi MyAirline pada 12 Oktober lalu yang dikatakan ekoran tekanan kewangan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan lebih 500 kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung status perkhidmatan mereka dalam syarikat berkenaan yang memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Disember lalu.

Pada 16 Oktober lalu, Pengarah dan Eksekutif Interim MYAirline Datuk Seri Azharuddin A Rahman dilaporkan berkata pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan dua isu penting iaitu memulangkan wang pelanggan yang telah membuat pembayaran bagi tempahan tiket dan membayar gaji kakitangan.

Kamarul Baharin berkata isu berkenaan memerlukan campur tangan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan kebajikan kakitangan syarikat penerbangan terbabit terbela dan dapat meneruskan kehidupan.

"Kehidupan mereka ketika ini amat terjejas dan saya harap kerajaan ambil maklum dan segera bertindak," katanya.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan akan melakukan siasatan berkaitan selain merujuk kes itu kepada IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan IPD Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 9:56 PM