GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pelaksanaan kadar baharu gaji minimum RM1,500 perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa pengecualian kepada mana-mana syarikat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, ia bagi mengelak kekeliruan dan kecelaruan di kalangan pekerja.

"Ini kerana ia pernah berlaku semasa perintah gaji minimum yang dilaksanakan sebelum ini.

"Semasa perintah gaji minimum yang dibuat pada 2013, pekerja hotel terpaksa membawa isu itu sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan gaji minimum kerana pengecualian yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan kadar baharu gaji minimum RM1,500 sebulan mulai 1 Mei.

Kamarul Baharin meminta kerajaan memberi bantuan kewangan kepada syarikat bagi membolehkan gaji minimum itu dilaksanakan tanpa diskriminasi.

Kata beliau, bantuan juga boleh diberikan melalui pengurangan cukai, subsidi atau rebat kepada syarikat berkenaan.

Beliau turut menggesa kerajaan mewartakan perintah gaji minimum baharu itu mengikut Akta 372 bagi membolehkan ia dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu tegas mengawal harga barangan keperluan kerana kenaikan gaji minimum tidak akan memberi kesan kepada pekerja sekiranya kos barangan meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 8:26 PM