SUHAILI. FOTO arkib NSTP
SUHAILI. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Labuan: Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

"Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Meskipun berkemungkinan akan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembagunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang.

"Saya dengan ini menyokong dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang," kata beliau.

Suhaili berkata, keputusan beliau untuk menyokong Perdana Menteri adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan melakukannya dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Suhaili memperoleh 8,124 undi selepas mengalahkan Datuk Bashir Alias daripada Barisan Nasional dengan majoriti 708 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 12:56 PM