Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan
Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menjelaskan keputusan sama ada meneruskan cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) atau sebaliknya di negeri itu hanya akan dibuat selepas memperoleh keputusan hasil proses publisiti dan penyertaan awam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, setakat ini cadangan berkenaan masih dalam peringkat publisiti dan penyertaan awam yang akan berakhir pada 11 November ini.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti semua aspek secara keseluruhan selepas memperoleh hasil daripada proses publisiti dan penyertaan awam.

"Untuk cadangan KSAS, kita masih di peringkat pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) supaya kita dapat selaraskan perancangan pembangunan Kelantan terutama berkaitan mineral.

"Bagi kawasan takungan air, kita beri jaminan tidak akan menyentuh kawasan berkenaan.

"Kita juga perlu melihat hasil yang ada dan sekiranya boleh dimanfaatkan, kenapa tidak?

"Namun kita akan lihat setakat mana dan berapa keluasan yang akan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini, hari ini.

Terdahulu, pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan akan dihentikan sekiranya cadangan pengubahsuaian KSAS di negeri itu diteruskan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cadangan pengubahsuaian tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Setakat ini, lebih RM29 juta diperuntukkan kepada kerajaan Kelantan dari 2019 hingga 2023.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya akan memberikan maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh Nik Nazmi dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 1:17 PM