ANGGOTA APM ketika melakukan tinjauan dirumah penduduk yang terjejas dengan fenomena air pasang besar di Muar hari ini. FOTO ihsan JPBD Muar
ANGGOTA APM ketika melakukan tinjauan dirumah penduduk yang terjejas dengan fenomena air pasang besar di Muar hari ini. FOTO ihsan JPBD Muar
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my


Muar: Orang ramai diminta berhati-hati berikutan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku di kawasan persisiran pantai barat Semenanjung bermula semalam hingga 7 Disember ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar JPBD berkata, kawasan yang berisiko adalah Tanjung Emas, Kampung Parit Tiram, Parit Beting, Kampung Sabak Awor, Parit Kedondong Laut, Kampung Seri Menanti Laut dan Pantai Leka Parit Jawa.

"Penduduk di kawasan berisiko berkenaan dinasihatkan berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka setinggi 2.5 meter dan perlu segera menghubungi pihak berkuasa jika berlaku sebarang kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, penduduk yang berhampiran diingatkan untuk sentiasa mengetahui cuaca semasa supaya dapat bersedia dengan barang peribadi, dokumen penting, kelengkapan seperti beg bencana untuk mudah dibawa jika diarahkan berpindah pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa.

"Orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati ketika berkunjung di kawasan rekreasi di pesisir sungai Muar serta pesisir pantai dan sentiasa patuhi arahan terkini daripada pihak berkuasa," katanya.

"Pihak JPBD sentiasa dalam keadaan siap siaga dan akan terus melakukan rondaan di kawasan yang berisiko dinaiki air pasang besar daripada semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:05 PM