YAHYA meletakkan barangan elektrik di tempat tinggi sebagai persiapan menghadapi banjir. FOTO Ihsan Yahya Ibrahim
YAHYA meletakkan barangan elektrik di tempat tinggi sebagai persiapan menghadapi banjir. FOTO Ihsan Yahya Ibrahim
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pantai Kuala Selangor sudah membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir, termasuk meletakkan perkakas elektrik dan perabot di tempat tinggi berikutan fenomena air pasang besar bermula semalam sehingga 5 Januari ini.

Penduduk Kampung Sungai Janggut, Yahya Ibrahim, 54, berkata dia mengambil pendekatan awal kerana bimbang air laut dan angin kencang bertembung mengakibatkan keadaan bertambah buruk.

"Tahun lalu, air pasang besar menyebabkan ban pecah. Ia kemudian melimpah ke dalam rumah walaupun kawasan laman sudah ditinggikan dan mempunyai struktur konkrit," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kata Yahya, ketika ini dia, isteri dan tiga anak bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan kerana rumah mereka paling hampir dengan pantai dan terletak kira-kira 300 meter.

"Jika tiada persiapan dilakukan, sudah pasti barangan tidak sempat diselamatkan kerana rosak ditenggelami air," katanya.

Bagi Mokhtar Md Yunus, 54, yang tinggal di Jalan Jati, Sungai Sembilang, fenomena kali ini berskala kecil berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, air pasang besar tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengakibatkan ban runtuh atau pecah jika disusuli hujan berterusan dan angin kencang.

"Mohon kerajaan supaya kerap memeriksa dan menyelenggara ban untuk memastikan benteng penahan ombak ini sentiasa kukuh," katanya.

Mokhtar berkata, fenomena air pasang besar pada dua tahun lalu lebih teruk berbanding tahun sebelumnya menyebabkan lebih 10 kali rumahnya dinaiki air.

"Kawasan rumah saya rendah dan berhampiran pantai," katanya.

Terdahulu, Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan berkata, antara kawasan yang berisiko tinggi berlaku fenomena itu adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Katanya, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:08 PM