KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan Kilometer 63.8 Lebuhraya Utara-Selatan. FOTO tular
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan Kilometer 63.8 Lebuhraya Utara-Selatan. FOTO tular
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Jasad seorang pelajar Kolej Vokasional Kluang berkecai dilanggar beberapa kenderaan dalam kemalangan Kilometer 63.8, Lebuhraya Utara-Selatan, 7.45 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, mangsa, Muhammad Syafiq Haikal Abdullah, 16, maut serta-merta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135, sebelum itu terjatuh dari motosikal selepas melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) Isuzu MU-X.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa bersama SUV dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru. Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa melanggar belakang SUV dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun lalu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan.

"Kemudian beberapa kenderaan, jenis dan nombor pendaftaran yang tidak pasti dan pemandu MPV seorang lelaki berusia 41 tahun yang tidak dapat mengelak dan terlanggar mangsa. Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk lalu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua pemandu kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, tular di media sosial gambar dan video kemalangan mengerikan itu yang dirakam pengguna lebuh raya yang melalui lokasi berkenaan sehingga mendapat simpati netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 12:32 AM