Suliati Asri

Ramai berpendapat fasa persaraan adalah peluang untuk berehat selepas sekian lama seseorang individu itu bekerja.

Namun, itu tidak bermakna seseorang itu tidak boleh terus berbakti kepada bangsa dan negara kerana fasa persaraan mungkin adalah permulaan yang bermakna buat mereka.

Ramai dalam kalangan pesara masih bersemangat, tidak pernah kenal erti lelah dan masih ingin terus menabur bakti, memberi inspirasi serta berjasa kepada negara dan komuniti setempat.

Justeru, bagi mengiktiraf sumbangan pesara sektor awam yang kekal aktif berkhidmat dan memperkasa masyarakat secara keseluruhan walau sudah bersara, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjemput semua pesara kerajaan sektor awam untuk menyertai Anugerah MyPesara 2023.

Anugerah MyPesara 2023 adalah penganugerahan peringkat perdana yang disediakan khas bagi mengiktiraf dan menghargai pesara sektor awam yang menjalankan aktiviti yang bermakna, mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek yang memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain.

Ini juga bertujuan menggalakkan pesara dan bakal pesara untuk terus menyumbang secara positif kepada masyarakat walaupun ketika menjalani fasa persaraan mereka.

ImageKetua Jabatan Komunikasi Strategik KWAP, Nor Faridah Amin

Ketua Jabatan Komunikasi Strategik KWAP, Nor Faridah Amin berkata pihaknya komited dalam menyokong pesara sektor awam yang aktif memberi manfaat kepada masyarakat semasa tempoh persaraan mereka selari dengan slogan KWAP untuk menjadi "Teman Persaraan Anda".

Menurutnya, sebagai usaha menghargai sumbangan mereka, KWAP menganjurkan Anugerah MyPesara untuk terus menyokong persaraan aktif supaya lebih ramai pesara sektor awam mengikut jejak langkah mereka.

"Oleh demikian, Anugerah MyPesara diadakan untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada pesara lain untuk terus menyumbang kepada masyarakat sekeliling," katanya.

Pencalonan Anugerah MyPesara 2023 ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Pendidikan, Sosial dan Khidmat Masyarakat serta Keusahawanan.

Bagi kategori Pendidikan, penghargaan diberikan kepada pesara yang terbabit secara aktif dalam mempertingkatkan proses pembelajaran dan membuka jalan untuk akses pendidikan kepada golongan yang terpinggir.

Bagi kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat, ia mengiktiraf pesara yang menyumbang dalam penyediaan bantuan kepada komuniti yang kekurangan sumber di samping meningkatkan kesedaran sosial di platform negeri hingga antarabangsa.

Bagi kategori Keusahawanan pula, ia membabitkan pesara yang mempamerkan kemahiran melalui perniagaan yang mampan dalam pelbagai sektor antaranya pertanian, perkhidmatan, pembuatan, makanan dan minuman dan lain-lain di mana peluang pekerjaan diwujudkan selain turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Pemenang Anugerah MyPesara yang akan diumumkan pada 14 Disember depan dalam satu majlis penganugerahan, menawarkan hadiah berupa wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan untuk pemenang utama.

Tiga pemenang bagi setiap kategori pula akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang.

Manakala lima penerima hadiah sagu hati bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Anugerah ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 55 tahun dan ke atas yang menerima pencen bulanan daripada kerajaan.

Pencalonan terbuka kepada pesara dari perkhidmatan awam persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan kecuali pesara Angkatan Tentera Malaysia (veteran ATM).

Calon juga adalah individu yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan membuat perubahan yang mendalam sambil menunjukkan amalan yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk tempoh minimum selama lima tahun serta belum pernah menerima sebarang anugerah di peringkat kebangsaan atau anugerah antarabangsa atas sumbangannya.

Bagi mereka yang ingin membuat pencalonan untuk diri sendiri atau orang lain, mereka boleh mengemukakan pencalonan selewat-lewatnya pada 10 November ini dengan memuat turun borang di laman web www.kwap.gov.my/anugerahmypesara.

Penghantaran borang pencalonan perlu disertakan dengan dokumen sokongan untuk pengesahan dan semakan dalam bentuk artikel yang diterbitkan, siaran akhbar, salinan sijil pembabitan, keahlian dan pencapaian.

Bagi kategori keusahawanan, syarikat calon hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dokumen berkenaan kewangan perlu dikemukakan.

Manakala, untuk kategori sosial dan khidmat masyarakat pula, organisasi calon hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan dokumen berkenaan perlu dikemukakan.

Borang pencalonan serta dokumen berkaitan hendaklah dihantar ke e-mel [email protected], melalui pos, secara serahan tangan ke Pejabat KWAP di

Kuala Lumpur atau Cyberjaya atau semasa program Jelajah MyPesara KWAP berlangsung.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.kwap.gov.my/anugerahmypesara.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:21 PM